Friday, April 9, 2010

2 (b) CERPEN/ DRAMA.
Cerpen “Mellisa” (Abdullah Hussain)
Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“ Rasanya kita pernah berjumpa,” kata Syahid agak tidak malu apabila dia menghulurkan tangan sebaik sahaja mereka diperkenalkan. Perasaannya tergugah sedikit. Darah tersimbur naik ke mukanya. Seluruh kulit menjadi cerah. Dia pun tiba-tiba menjadi gugup. Di mana? Mahu sahaja dia percaya pada waktu itu bahawa Syahid ini benar-benar penjelmaan daripada Hisham. Aku tidak pernah bertemu dengan orang ini, bawah sedarnya berbisik. Namanya, ya pernah aku dengar sebab selalu disebut-sebut oleh Farid apabila sahaja makalahnya tersiar dalam surat khabar itu. Syahid yang menolong menyiarkannya.
Nama Syahid juga selalu muncul dalam akhbar ini kerana rencana yang ditulisnya di halaman rencana pengarang atau ada berita by line. Hanya dari situ sahajalah dia mengetahui nama lelaki itu, tetapi berjumpa belum.
“Yakah?” Hanya itu yang keluar daripada mulutnya. Dia ditinggalkan di bilik Syahid, sebuah ruangan yang berbentuk kotak. Duduk di kerusi menghadap kepadanya. Syahid mulai membuka cerita. Berbagai-bagai ceritanya. Tetapi anehnya dia tidak mengulangi lagi ucapannya tadi tentang pernah berjumpa dengannya dahulu. Barangkali juga itu hanya helahnya sahaja, suatu gimik mahu memancing kemesraan. Demi Tuhan, kalau ada pancingannya pun, dia sendiri mulai jatuh hati dengan anak muda ini. Keberaniannya telah mengusik hatinya. Kumisnya yang kecik bak satu garis hitam di atas bibirnya itu kelihatan agak lucu, bergerak-gerak apabila dia bercakap, tetapi menimbulkan gaya pesona. Adakah ini cinta pandang pertama? Wajahnya itu benar-benar milik Hisyam. Kalau Hisyam ada di situ tentu mereka berdua akan dikatakan saudara kembar. Hanya kumisnya itu yang membezakan mereka. Tetapi bentuk tubuh boleh berubah apabila kita semakin dewasa. Hisyam pun kalau ada sekarang, mungkin juga kurus seperti Syahid. Tubuhnya dahulu agak berisi tetapi dia mempunyai tanda-tanda akan tinggi seperti bapanya.
(Antologi Harga Remaja, halaman 153-155).


i. Apakah maksud rangkai kata keberaniannya telah mengusik hatinya? (2 markah)
Rangkai kata keberaniannya telah mengusik hatinya bermaksud sikap berani menyebabkan timbulnya rasa suka dan tertarik.

ii. Adakah anda bersetuju bahawa Syahid dalam petikan di atas ialah Hisyam? Berikan alasan anda. (4 markah)
Ya, saya bersetuju bahawa Syahid ialah Hisham kerana Syahid menyatakan bahawa dia pernah berjumpa dengan gadis berkenaan. Selain itu wajah Syahid mirip Hisyam yang pernah akrab dengan gadis itu. Walaupun dahulu Hisham agak berisi tubuhnya, tetapi ada tanda-tanda dia akan tinggi seperti bapanya.


iii. Nyatakan satu latar masyarakat dalam petikan dan dua latar masyarakat yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. (3 markah)
Latar masyarakat dalam petikan ialah masyarakat wartawan yang ada pengetahuan dan bersikap kritis. Manakala latar dalam keseluruhan cerpen ialah masyarakat majmuk, iaitu orang Melayu dan Cina yang berbeza agama. Selain itu, terdapat juga masyarakat yang hidup dalam kemesraan, prihatin dan tolong-menolong, tetapi berlaku konflik dan pergaduhan jika sentimen kaum disentuh.

No comments:

Post a Comment