Friday, April 9, 2010

STRATEGI MENJAWAB SOALAN PEMAHAMAN NOVEL SPM.

STRATEGI MENJAWAB SOALAN PEMAHAMAN NOVEL SPM.

KERTAS 2 SPM: SOALAN 4 (a) dan (b)

  1. Berdasarkan keperluan peperiksaan, ingatlah bahawa jawapan anda untuk ceraian soalan (a) dan soalan (b) mestilah berdasarkan sebuah novel sahaja, maksudnya novel yang sama untuk kedua-dua ceraian soalan berkenaan.
  2. Seterusnya, teknik menjawab soalan mestilah menepati kehendak konsep. Contohnya, untuk soalan berkonsep pengajaran, jawapan anda mestilah menggunakan kata “janganlah” dan “hendaklah”.
  3. Begitu juga halnya, jawapan anda untuk soalan berkonsep watak mestilah menekankan sifat watak dan bukannya peristiwa yang melibatkan watak.
  4. Setiap isi jawapan mestilah disertai contoh. Contoh dapat mengukuhkan isi jawapan dan contoh dapat juga membuktikan bahawa anda telah membaca teks novel yang berkenaan.
  5. Kepanjangan jawapan anda seharusnya disesuaikan dengan jumlah markah yang diperuntukkan. Oleh sebab markah yang diperuntukkan hanya tujuh dan lapan sahaja, maka lapan hingga sepuluh ayat sudah cukup untuk anda mendapat markah penuh bagi setiap ceraian soalan.
  6. Yang penting anda berikan sebagai jawapan ialah isi yang betul dan contoh yang tepat. Empat isi yang betul dengan contohnya yang tepat sudah memadai bagi anda memperoleh markah penuh.



CONTOH SOALAN DAN SKEMA PERMARKAHAN

Jawab soalan-soalan di bawah ini berdasarkan novel-novel yang berikut
(i) PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(ii) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah
(iii) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah
(iv) Renyah karya Gunawan Mahmood


(a) Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan maksud tema dan huraikan tema novel tersebut. ( 7 markah )

Tema bermaksud sesuatu atau subjek yang menjadi dasar sesuatu penceritaan. Tema dianggap perkara idea pokok atau utama yang menjadi keutamaan kepada persoalan-persoalan lain yang terdapat dalam mana-mana cerita. Tema dalam novel ini ialah pengorbanan dan kemuliaan hati seorang gadis dalam menghadapi desakan hidup. Contohnya, Azfa Hanani sanggup menyamar sebagai Tengku Murni kerana tidak mahu membebankan Pak Long yang terpaksa menanggung pembelajarannya. Dengan menyamar sebagai Tengku Murni dia juga dapat membantu mendapatkan kos rawatan untuk Zuraini yang lumpuh.

(b) Huraikan dua nilai pengorbanan watak beserta contoh dalam novel yang telah anda kaji. ( 8 markah )
Azfa Hanani sanggup berkorban dengan menyamar menjadi Tengku Murni supaya Datin Maziah tidak terus tertekan akibat kematian anaknya, Tengku Murni. Dia tetap mahu menyamar sebagai Tengku Murni walaupun kehadirannya tidak disenangi oleh Tengku Muzaffar dan Tengku Datuk Makmur. Pak Long sanggup berkorban wang ringgit untuk merawat anaknya, Zuraini yang lumpuh.

(a) Pengarang banyak menyelitkan unsur pengajaran untuk dijadikan panduan kepada pembaca dalam sesebuah novel.
Huraikan tiga pengajaran yang terkandung dalam novel tersebut. ( 7 Markah)
Kita hendaklah membantu golongan yang memerlukan bantuan. Janganlah berasa malu untuk mengakui kesilapan dan perlulah meminta maaf atas apa-apa yang telah dilakukan. Kita hendaklah bersikap merendah diri terhadap orang lain walaupun kita berasal daripada keluarga berada.

(b) Nyatakan empat latar tempat dan peristiwa yang berlaku dalam novel yang telah anda pelajari. (8 Markah)
Latar tempat yang terdapat dalam novel Azfa Hanani adalah di Sekolah Menengah Sri Dian. Azfa Hanani bersekolah di situ sebelum bertukar ke sekolah lain di Kuala Lumpur. Seterusnya latar tempat yakni di jeram yang terletak di dusun Pak Haji Arshad. Azfa Hanani membawa sepupu-sepupunya bersiar-siar sambil menikmati buah rambutan. Selain itu, latar di Hotel Universe yakni di hotel bertaraf lima bintang inilah Azfa Hanani menginap selama dua hari dan diajarkan cara-cara untuk menjadi “Tengku Murni”. Latar tempat seterusnya adalah di Sekolah Menengah Taman Sari. Azfa Hanani menyambung persekolahan di sini setelah berpindah ke Kuala Lumpur.



2 comments:

  1. Salam cg. Nk tanye.
    Kalo ayah = ayahanda
    Emak = bonda
    Kalo untuk adik lelaki? Dan kakak perempuan?

    ReplyDelete