Friday, April 9, 2010

2 (b) CERPEN/ DRAMA

2 (b) CERPEN/ DRAMA.

Drama “Gelanggang Tuk Wali” (Ismail Kassan).

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

TUK WALI: ( Bangun dan mengingati sesuatu) Di rumah Haji Kodri tadi aku tau aku memang sengaja dimalukan. Aku tau mereka cuma jadikan Si Piee tu kambing hitam! Sasarannya aku, Umi! Aku! Mereka mempersendakan tiap gerak dan kata-kata aku! Sampaikan cara aku bersamping pun dipersendakan! Tapi, aku tidak peduli semua itu. Buruk sangat ke tingkah laku aku ni? Aku cuma bersilat dalam gelanggang! Silat itulah yang aku gerakkan sejak 50 tahun lalu! Dulu, semua jurus, pengunci dan penangkis pukulan itu dikaguminya, dipuji dan dianggap hebat. Tiap gelanggang bila aku bersilat, penuh sesak orang datang nak melihat dan mencuri gelak! (Hampa). Tapi, sekarang tiap langkah aku baik di luar apalagi di dalam gelanggang, dicemuh, dihina dan diketawakan! Apa salah aku pada mereka, Umi! Besar sangat ke dosa aku ni? Cuma kerana terus bersilat?

Aku cuma tahu bersilat, mencari akar kayu, meracik, mengurut bila ada yang patah atau terkehel, mengubat orang sakit yang sudah tidak diterima doktor! Kerja pinang-meminang, jadi tuk mudin pun aku! Menggali liang kubur pun aku! Sampaikan mandi mayat pun aku dicari. Tapi kerana aku terus bersilat maka aku dicemuh, dihina sehina-hinanya! Adil ke, Umi? Adil ke? Aku tidak pernah minta disanjung! Aku tak tergamak minta upah setiap kali menolong orang! Tak sampai hati aku, Umi! Tapi, mereka sampai hati menjatuhkan maruah aku! Mereka tergamak menghina dan mempermainkan aku di majlis orang! Aku malu Umi! Malu!

(Antologi Harga Remaja, halaman 200-201).

i. Apakah yang dimaksudkan oleh Tuk Wali dengan mengatakan aku tau mereka cuma jadikan Si Piee tu kambing hitam! Dalam petikan di atas? (2 markah)

Ungkapan aku tau mereka cuma jadikan Si Piee tu kambing hitam!bermaksud orang kampung menjadikan Piee, anak tiri Tuk Wali sebagai alat untuk mempersendakan Tuk Wali dari segi tingkah laku hinggalah setiap perbuatannya.

ii. Sekiranya anak murid yang paling rapat dengan Tuk Wali, nyatakan tindakan-tindakan yang patut anda lakukan untuk menjernihkan keadaan. (4 markah)

Antara tindakan-tindakan yang patut dilakukan adalah memberikan galakan dan sokongan kepada Tuk Wali. Selain itu, menasihati Tuk Wali supaya jangan mudah berkecil hati dengan kata-kata orang. Di samping itu, menaikkan semangat Tuk Wali supaya meneruskan perjuangan mengangkat ilmu persilatan dan menyakinkan orang kampung bahawa tanggapan negatif mereka terhadap Tuk Wali adalah tidak benar.

iii. Berikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan dua persoalan lain yang terdapat dalam keseluruhan drama. (3 markah)

Persoalan yang terdapat dalam petikan adalah pandangan negatif masyarakat terhadap mahaguru silat walaupun dia banyak berkorban masa dan tenaga. Persoalan dalam keseluruhan drama adalah cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh mahaguru silat untuk mempertahankan warisan budaya ini. Persoalan lain adalah kebencian terhadap anak muda yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

No comments:

Post a Comment